Social Icons

Pages

Saturday, 7 June 2014

Hitung kesyukuran, usah hitung kesukaran..

Alhamdulillah...

Di saat Allah memberi kesibukan dalam urusan kerja di dunia, lafazkan Alhamdulillah kerana Allah inginkan kita perbaharui niat kita bekerja kerana Allah supaya di sebalik kesibukan itu, melimpah ruah pahala bagi setiap saat yang akan memberi kerehatan yg hakiki di akhirat nanti insyaAllah. Lafazkan Alhamdulillah kerana di saat itu Allah akan timbulkan rasa kemanisan dan kerehatan dalam solat kita dan saat itulah Allah akan timbulkan rasa kesyukuran bila masih diberi peluang untuk menunaikan solat sebelum ajal menjemput...


Di saat kita berasa letih dengan urusan kerja, lafazkan Alhamdulillah kerana Allah ingin kita berkhidmat di jalanNya. Jika kita berniat kebaikan dalam kerja itu, yakinlah bahawa keletihan itu akan hilang dan pahala akan terus tersimpan dan kekal insyaAllah...


Di saat kita kesibukan dan Allah hadirkan insan-insan yang meringankan kerja kita, lafazkan Alhamdulillah kerana sesungguhnya Allah yang menghantar mereka untuk membantu kita. Jangan lupa diselitkan doa buat mereka yg sentiasa menyokong dan moga mereka beroleh pahala kerana memudahkan kerja kita. Hargailah mereka. Setiap pagi sebelum pergi kerja, jangan lupa doakan agar dapat dikongsikan pahala kerja kita kpd ibu bapa, keluarga & sahabat kita. Mereka sanggup korbankan masa utk masak bekalan kita, menjadi pendengar yg setia dan memberi sokongan moral...


Di saat segelintir manusia melayan kita dengan kurang baik meskipun kita berlemah lembut dan berbuat baik, lafazkan Alhamdulillah kerana Allah ingin mengajar dan memberi teladan kpd kita supaya tidak mencontohi akhlaknya kelak. Memang sukar utk mengubah akhlak seseorang tapi kita mampu mengubah sudut pandang kita terhadapnya. Bersangka baiklah dan doakan moga Allah perbaiki akhlaknya. Hati itu milik Allah dan hanya Dia yang mampu mengubah hati insan tersebut. Teruskan berbuat baik dan mohon agar Allah ampunkan kesilapannya dan dijauhkan kita drpd penyakit hati...


Di saat Allah temukan kita dengan manusia lain yang 'mencuri tulang' dalam kerja, lafazkan Alhamdulillah kerana Allah ingin beri peringatan kepada kita supaya bertanggungjawab kerana setiap setiap sen gaji yang kita dapat akan menjadi darah daging kita dan keluarga kita. Pesan ustaz, hilang keberkatan gajinya jika seorang pekerja yg sepatutnya 'punch card' dan mula bekerja pd pkl 8 tapi hanya punch card, kemudian bersarapan di kantin, kemudian baru mula bekerja dan lunch sebelum tiba masanya. Risau jika ada unsur haram dalam gaji kita kerana 'mencuri tulang'. Jika segelintir generasi zaman sekarang kurang berakhlak, risau jika ada unsur haram tanpa disedari dlm gaji ibu bapanya yg menjadi darah daging si anak. Setiap saat dan sen akan dihitung di akhirat kelak..


Di saat Allah berikan kemudahan dalam kerja kita, lafazkan Alhamdulillah kerana Allah memudahkan kerja kita. Hanya dengan izinNya, kita dapat melakukannya. Jika kita 'expert' sekalipun, jika Allah tidak izinkan, kita takkan mampu lakukannya...


Di saat kita berasa sukar, lafazkan Alhamdulillah, usah mengeluh kerana disebalik kesukaran itu Allah inginkan kita terus berdoa dan terus merintih. Allah rindu mendengar rintihan hambaNya dan inginkan hambaNya menghampiriNya. InsyaAllah ganjaran Jannah buat mereka yg bersabar disebalik ujian. Barangkali juga disebabkan dosa-dosa yang lalu membuatkan kita berasa sukar. Istighfarlah, moga Allah ampunkan kita...


Mudah utk lafazkan Alhamdulillah di lisan tp kadangkala sukar dilafazkan di hati. Peringatan untuk diri sendiri. Muhasabahlah dan didiklah hati agar sentiasa mengingati Allah pada setiap saat. InsyaAllah hati yang sentiasa melafazkan Alhamdulillah dan bersyukur, akan sentiasa diberi ketenangan dalam hidupnya. Moga Allah berkati setiap saat kita bekerja sebagai doktor, jurutera, guru, penjawat awam, surirumah dan sebagainya..

No comments:

Post a Comment

 

Sample text

Sample Text