Alhamdulillah Allah makbulkan impian
untuk ke Turki, dan yang paling best adalah dapat melancong bersama 2 orang
teman teristimewa, Izyan & Azira. Kami berjaulah hanya
bertiga, memandangkan sahabat-sahabat lain masih lagi berada dalam musim
peperiksaan. Tempoh jaulah kami pada kali ini hanya selama 7 hari (dari 15/5 –
22/5), tempoh yang sangat pendek untuk explore seluruh Turki. Kami memulakan
perjalanan kami di Dublin dan bergerak ke Turki dengan menaiki Turkish
Airlines. Alhamdulillah perjalanan yang mengambil masa selama lebih kurang 4
jam itu akhirnya tiba di Ataturk International Airport. Perjalanan diteruskan
ke hostel kami, Stray Cat Hostel (huhu, agak kurang selesa tapi bolehla dengan
bajet kami yang agak rendah) dengan menaiki Metro & tram. Setelah hampir 3
bulan kami selesai berjaulah, baru sempat nak share.
Seperti yang kami rancangkan sebelum
perjalanan, kami akan menghabiskan masa selama 3 hari untuk berjalan di sekitar
Istanbul, setengah hari di Bursa, sehari di Ankara, dan sehari di Pamukkale. Hajat
untuk melawat Edirne pada awalnya, tak dapat kami tunaikan disebabkan
kesuntukan masa. InsyaAllah detail lawatan kami, akan dikongsikan nanti.
Kerana manisnya ukhuwwah
Subhanallah, jaulah kali ini
benar-benar terasa manisnya ukhuwwah. Ukhuwwah di saat susah dan senang. Bukan
sekadar ukhuwwah di antara kami bertiga, tapi juga ukhuwwah yang baru terbina
bersama orang tempatan di sana. Terasa kemanisan ukhuwah dengan saudara
semuslim, walaupun tidak sempat bertanyakan nama, tidak sempat bersembang
panjang, tetapi kemanisannya tetap terasa. Bermula di Bursa, kami bertemu
dengan makcik dan kakak-kakak yang sangat friendly. Seperti biasa, disebabkan
kami memang tidak pandai berbahasa Turkish dan sangat sedikit penduduk tempatan
yang memahami English, kami mulalah bercakap seperti ayam & itik,
menggunakan bahasa isyarat dan menggunakan perkataan English yang simple2 saja.
Ketika di dalam masjid Ulucamii, disebabkan kami buntu dalam mencari tandas dan
tempat berwudhu, Izyan & Azira cuba bertanya kepada seorang makcik
sementara saya menjaga baranng-barang kami di suatu sudut. Sambil memerhatikan
kedua-dua sahabat saya yang sedang bertanya itu, tiba-tiba saya terkejut
apabila makcik tersebut memeluk izyan dengan begitu erat sekali, seakan-akan
seorang ibu memeluk anaknya. Masing-masing membuat andaian yang mungkin makcik
tersebut salah faham soalan kami ataupun mungkin jugak memberi pelukan sesama jantina
menjadi budaya di kalangan orang-orang Turki terutamanya apabila terjumpa
pelancong luar yang juga beragama Islam.
Gambar : Blue Mosque, Istanbul
Dari kota Bursa, kami bertolak ke
stesen bas Bursa yang agak jauh dari bandar. Di sana kami berehat selama 2-3
jam untuk mengisi perut yang kekosongan & juga mengisi rohani kami. Selesai mengambil wudhu,
saya disapa oleh seorang makcik dan anak perempuannya. Makcik tersebut cuba
bertanyakan sesuatu tetapi saya kurang faham. Matanya sambil memandang kea rah tisu
di tangan saya. Oh, mungkin dia perlukan tisu untuk keringkan mukanya selepas
berwudhu. Tanpa memahami soalannya, saya menghulurkan tisu, kebetulan terlebiih
tisu yang diambil. Makcik tersenyum & memegang tangan saya dengan sangat
erat, senyumannya dibalas tetapi masih terasa kekok. Selesai menunaikan solat,
saya & izyan berehat sebentar di belakang saf. Tiba-tiba makcik tadi datang
dan menyentuh pipi dan dagu izyan dan tersenyum kepada kami. Sekali lagi, kami
kehairanan. Mungkin ini cara mereka menyambut kami sebagai tetamu. Subhanallah,
jika betul sangkaan kami ini, hebatnya layanan mereka sebagai tuan rumah.
Barangkali Allah memakbulkan doa saya yang berharap untuk bertemu insan-insan
yang baik sepanjang permusafiran ini. Setiap kali teringatkan makcik-makcik di
sana, tersenyum keseorangan.
Di Eyup camii pula, ketika kami sedang
bertanya-tanya kepada polis tentang arah ke Makam Abu Darda, polis tersebut
memanggil sahabatnya untuk membawa kami ke situ menggunakan kereta mini (saya
tak tahu nama kereta tersebut, seakan-akan kereta yang digunakan di padang
golf). Pada ketika itu kereta tersebut digunakan oleh 2-3 orang wanita tua yang
bertongkat. Polis tersebut memberitahu kepada makcik tersebut dalam bahasa yang
kami tidak faham. Tiba-tiba makcik tersebut turun dan senyum kepada kami sambil
berkata ‘Musafirullah, musafirullah..” itu saja yang mampu saya faham. Ya
Allah, bersalahnya rasa, disebabkan kami, makcik tersebut terpaksa berjalan.
Tak tahu bagaimana nak beritahu dalam bahasa yang mereka fahami yang kami boleh
berjalan, cuma perlu tunjukkan arah yang tepat. Disebabkan makcik itulah, saya
mendapat ilham untuk menamakan blog ini Musafirullah. Jika Allah berikan pahala
di atas perkongsian ilmu di blog ini, moga makcik juga mendapat sahamnya
insyaAllah. Kemudian, kami dikejutkan lagi dengan kedatangan sekumpulan
adik-adik dari salah sebuah madrasah di Turki yang kebetulan sedang mengadakan
lawatan di Eyup Camii. Adik-adik ini masih kecil, sekitar umur 9-16 tahun,
agaknya. Ada di kalangan mereka yang agak boleh berbahasa Inggeris,
meminta-minta untuk bergambar dengan kami dan meminta autograph kami. Allah,
walaupun penat nak melayan adik-adik ni bergambar kerana setiap orang mahu
bergambar sorang-sorang dan kesemua mereka mungkin belasan orang, tapi terasa
manisnya layanan mereka. Terasa seperti saudara sendiri. Jika di Rome, mungkin
ini salah satu taktik untuk mencuri/merompak pelancong. Tetapi di Turki, Allah
tidak detikkan rasa curiga dalam hati terhadap adik-adik ini, tapi Allah
detikkan rasa gembira seakan-akan berjumpa saudara yang telah lama terpisah.
Gambar : Pammukale, Turkey. Subhanallah, cantik sangat!
Gambar : Pammukale, Turkey. Subhanallah, cantik sangat!
Di Istanbul juga, kami sempat bertemu
dengan Kak Riza & Ustaz Wan yang kebetulan menghadiri Medical Conference di
situ. Alhamdulillah, setelah hampir setahun tidak bertemu, Allah temukan kami
di Istanbul. Seperti biasa, kami dilayan dengan begitu baik oleh Kak Riza dan
ustaz, shopping sama-sama dan dapat makan seafood free di Istanbul J Di Pamukkale pula, kami bertemu dengan sepasang suami isteri yang meminta untuk bergambar bersama kami kerana gembira berjumpa dengan pelancong luar yang seagama dengan mereka.
Moga setiap ukhuwah yang
terbina ini akan dapat dibawa ke Jannah nanti insyaAllah. Moga sahabat-sahabat
yang akan melancong juga, akan ditemukan juga dengan hamba Allah yang baik hati
& dapat merasai kemanisan ukhuwah itu, insyaAllah.
Kerana manisnya ukhuwwah..
Makan setalam, tidur sebantal dan musafir sekenderaan,
bersulam doa rabithah yang diaminkan bersama sejurus selesai melazimi al
ma'thurat setiap pagi dan petang. Tersenyum bila ada yang berkongsi berita
kejayaan, dimurahkan rezeki, berita bertukar status menjadi isteri ataupun ibu.
Air mata bisa berlinang bila sahabat seperjuangan mengadu kesakitan, ditimpa
musibah atau bakal berpisah buat sementara waktu. Ukhuwah yang manis
tidak cukup dengan hanya bertegur 'Assalammualaikum' ataupun 'hye-hye dan
bye-bye' tetapi ukhuwah yang mampu melahirkan kesatuan dan menenangkan hati.
Alhamdulillah terima kasih Allah kerana pertemukanku dengan hambaMu yang
istimewa, dikurniakan insan-insan yang berusaha melakarkan warna-warna
kehidupan ini menjadi seindah pelangi.
Dari Umar bin Khatab ra, Rasulullah SAW mengatakan kepadaku, ‘sesungguhnya diantara hamba-hamba Allah terdapat sekelompok orang yang mereka ini bukan para nabi dan bukan pula orang yang mati syahid, namun posisi mereka di sisi Allah membuat para nabi dan orang yang mati syahid menjadi iri. Para sahabat bertanya, beritahukan kepada kami, siapakah mereka itu ya Rasulullah? Beliau menjawab, ‘mereka adalah sekelompok orang yang saling mencintai kerana Allah SWT, meskipun diantara mereka tiada ikatan persaudaraan dan tiada pula kepentingan material yang memotivasikan mereka. Demi Allah, wajah mereka bercahaya, dan mereka berada di atas cahaya. Mereka tidak takut manakala manusia takut, dan mereka tidak bersedih hati manakala manusia bersedih hati.’ Lalu Rasulullah SAW membacakan ayat ‘Sesungguhnya wali-wali Allah itu, mereka tidak takut dan tidak pula bersedih hati.” (HR. Abu Daud).
Abadikan pertemuan di atas kasih sayang, ciptakan kejayaan di atas sebuah perjuangan, kukuhkan ukhuwah di atas keikhlasan, hanya kerana Allah SWT... Ana uhibbuki fillah..
No comments:
Post a Comment