Social Icons

Pages

Tuesday, 25 June 2013

Travelog Umrah : Samudera rahmah di bumi Makkah & Madinah


“HambaMu telah datang menyambut panggilanMu Ya Tuhan, hambaMu datang menyambut panggilanMu. Sesungguhnya segala puji-pujian, nikmat dan kerajaan adalah kepunyaanMu dan tidak ada sekutu bagiMu.” 

Begitulah lafaz talbiah yang senantiasa meniti di bibir setiap tetamu Allah ketika menjejakkan kaki ke Baitullah. Hati manusia bersemangat menuju kepadanya masa demi masa, tahun demi tahun tanpa mengira umur dan jarak perjalanan, bagi memerhati dan mengambil ibrah daripada tempat suci ini.
Setiap hati pasti akan tersentuh apabila melihat Kaabah. Takbir dilafazkan berulang-ulang kali dan doa dibaca setiap kali melihat Kaabah yang menjadi kiblat seluruh umat Islam. Antara petikan doa yang dibacakan ketika melihat Kaabah adalah, “ Wahai Allah, tambahkanlah Baitullah ini dengan kemuliaan, kebesaran, keagungan, dan kebaikan begitu juga tambahkanlah kurnia Engkau kepada sesiapa juga yang memuliakan Baitullah dan membesarkannya daripada kalangan mereka yang mengerjakan haji dan umrah dengan kemuliaan, kebesaran, ketinggian dan kebajikan.” Subhanallah, setiap mata yang memandang, pasti seakan-akan tidak percaya akan diberi peluang oleh Allah untuk menjejakkan kaki di tanah suci ini.

Alhamdulillah seronok rasanya berpeluang melihat suasana umat Islam berpusu-pusu ke masjid meskipun azan akan berkumandang lagi sejam. Saf-saf sudahpun hampir penuh. Subhanallah suasana solat jemaah di Masjidil Haram dan Masjid Nabawi ketika waktu subuh dan isyak & solat Terawih sangat meriah, hampir sama bilangan makmum yang hadir. Ramai yang berlumba-lumba mencari keredhaan Allah dan ganjaran solat di MasjidilHaram yang setara dengan seratus ribu solat di masjid lain. InsyaAllah jika setiap tetamu Allah yang hadir itu dapat mengamalkan sikap yang sama iaitu bersiap sedia awal untuk solat berjemaah, berlumba-lumba mengimarahkan masjid di tempat asal mereka dan bersatu di dalam saf yang sama apabila mereka pulang ke tanahair, pasti umat Islam akan menjadi umat yang paling berdisiplin dan bersatu dalam menentang musuh. Inilah antara bekalan rohani yang perlu dibawa pulang oleh setiap tetamu Allah ke kampung halaman.

Pertama kali mendengar bacaan doa qunut yang paling panjang dalam hidup ini dan penuh dengan makna, walaupun hanya dapat memahami beberapa ayat dek kerana ilmu bahasa Arab yang masih cetek, bacaan doa qunut tersebut pasti mampu membuat setiap tetamuNya mengalirkan air mata. Subhanallah..jika saya dapat memahami bahasa Arab dan tafsir al-Quran dengan lebih mendalam, pasti setiap rakaat solat terawih dapat dihayati dengan khusyuk. InsyaAllah, ayuh kita sama-sama gunakan umur yang Allah berikan kepada kita untuk memperbaiki ibadah kita dengan cara menimba ilmu sebanyak yang mungkin termasuklah bahasa Arab.


Makkah dan Madinah menjadi tempat Allah mentarbiyah hamba-hambaNya dengan sikap bersabar. Cuaca panas terik di Madinah yang boleh menyebab air separuh mendidih, mampu mendidik hati agar bersabar dalam beribadah. Kebetulan, semasa bulan Ramadhan, cuaca di Madinah begitu panas sekali, ujian buat tetamu-tetamuNya. Itu hanyalah sebahagian kecil kepanasan dunia yang Allah ingin uji kepada semua tetamuNya. Tak terbayang rasanya bila memikirkan kepanasan yang bakal dihadapi oleh seluruh umat manusia ketika di padang Mahsyar nanti, di mana matahari akan berada sejengkal di atas kepala seperti apa yang pernah diterangkan oleh kebanyakkan ustaz dalam ceramah mereka. Allahuakbar, semoga Allah permudahkan perhitungan kita kelak dan ditempatkan bersama orang mukmin.

Timbul rasa kagum kepada muslimat-muslimat berbangsa Arab dan negara sekitarnya yang menutup sepenuhnya aurat mereka dengan sentiasa mengenakan jubah hitam dan niqab biarpun cuaca panas terik. Ada yang berpakaian sehingga 2-3 lapis dan menutup keseluruhan muka, hanya dibiarkan lubang-lubang kecil pada bahagian mata untuk melihat. Sebahagian daripada kita mungkin pernah mengeluh apabila dinasihatkan untuk menutup aurat dalam keadaan suhu di Malaysia yang lebih sejuk berbanding Madinah. Ada yang berfikir panjang untuk memakai sarung kaki yang wajib dipakai bagi menutup aurat dengan lebih sempurna. InsyaAllah, semoga Allah lembutkan hati-hati setiap hambaNya agar berlumba-lumba dalam berusaha menjadi muslimah yang lebih baik. Apabila berbicara tentang pakaian, mengimbas kembali suasana ketika di Baitullah di mana majoriti berpakaian putih dan hitam; putih bagi yang berihram dan bertelekung manakala hitam bagi kebanyakkan yang berjubah. Kita mengagungkan persaudaraan iman, mempereratkan ikatannya di antara jamaah umrah serta menyemai persamaan di antara kita. Setiap insan memakai pakaian yang sama, keadaan dan ibadah yang sama; tidak ada keutamaan di antara mereka melainkan ketakwaan.


Salah satu perkara yang berjaya menarik perhatianku adalah suasana ibu bapa yang membawa hampir keseluruhan ahli keluarga mereka ke masjid untuk solat berjemaah. Ada yang mendukung bayi yang masih kemerah-merahan ketika solat. Budaya yang mungkin agak sukar dapat dilihat di Malaysia. Ada di kalangan kita yang bimbang sekiranya anak-anak kita menangis yang mungkin akan mengganggu konsentrasi para jemaah. Tidak salah jika mencuba untuk membawa kanak-kanak atau bayi ke masjid. Yang penting adalah pastikan masjid tidak dicemari dengan najis mereka dan jika bayi mula menangis, cubalah memujuk dengan cara mendukung. Banyak kaedah yang boleh kita pelajari dalam mendukung anak ketika solat.

Ketika usia yang masih muda ini, berazam, berdoa dan berikhtiarlah untuk menjejak kaki ke Baitullah. Berusahalah dengan cara menimba ilmu untuk mengerjakan ibadah haji & umrah, serta berusaha mencari rezeki yang halal bagi merealisasikan cita-cita kita ini ketika mana badan masih sihat, akal masih cerdas mengingati ayat-ayatNya dan kudrat yang masih kuat dalam beribadah. InsyaAllah semoga setiap impian kita akan dimakbulkan oleh Allah. InsyaAllah setiap saat, tenaga dan harta yang kita korbankan dalam ibadah ini pasti kelak akan menjadi bukti kecintaan kita kepada Yang Maha Esa.


Dari Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda, “Satu umrah kepada umrah (lain) adalah penebus bagi dosa yang ada di antara keduanya, dan haji yang mabrur itu tidak ada balasan baginya kecuali syurga.” (HR. Al-Bukhari (II/629))

Travelog Paris: Paris,I’m In Love!



"Apabila solat telah dilaksanakan, maka bertebaranlah kamu di bumi; carilah karunia Allah dan ingatlah Allah banyak-banyak agar kamu beruntung." (Al-Jumu’ah:10)

Mungkin ramai yang tertanya, ada ke nilai-nilai Islam yang boleh digarap jika melancong ke Paris? Pada mulanya, sebelum saya melancong ke Paris, saya hanya ingin ke sana untuk menghabiskan cuti musim sejuk bersama rakan-rakan dan ingin merealisasikan impian untuk menjejakkan kaki ke Disneyland, sebuah taman yang diimpikan sejak dari kecil lagi. Namun, mungkin Allah ingin mengubah persepsi saya dan mengajar bahawa nilai-nilai Islam atau nilai tarbiyah yang boleh kita cari, tidak semestinya hanya akan diperolehi apabila melancong ke negara-negara Islam. Jika melancong di Paris sekalipun, kita mampu mentarbiyah diri kita sendiri jika kita bermuhasabah tentang setiap perbuatan kita dan sentiasa mengingati Allah.

Setibanya di Beauvais Airport, saya dan rakan-rakan segera menaiki Shuttle Bus untuk ke stesen Metro. Alangkah terkejutnya kami melihat ragam penduduk tempatan yang berebut-rebut menaiki bas. Pandangan seperti ini jauh berbeza jika di Ireland. Keadaan fizikal kami sebagai orang Asian yang tidak seberapa tinggi, terpaksalah berasak-asak untuk masuk ke dalam shuttle bus, jika tidak, kami terpaksa menunggu lebih kurang setengah jam bagi bas seterusnya. Lebih menyukarkan lagi keadaan, hampir kesemua orang yang kami temui tidak begitu faham bahasa Inggeris. Mujurlah, Allah permudahkan urusan kami melalui seorang rakan kami yang pandai berbahasa French. Memandangkan kami tiba agak lewat dan tempoh siang pada musim sejuk itu semakin singkat, kami membuat keputusan untuk berehat di hostel dan meneruskan perjalanan pada keesokan harinya.


Pada keesokan paginya, langkah diatur awal agar setiap jam tidak dibazirkan begitu sahaja. Kami memulakan perjalanan dengan mengisi perut yang kosong terlebih dahulu. Kebanyakkan kedai makan dibuka agak lewat pada hari itu. Saya masih ingat lagi, di sanalah pertama kalinya saya masuk ke kedai makanan halal tetapi mempunyai ruang khas bagi orang ingin meminum arak. Saya sendiri tidak faham bagaimana sebuah kedai makan yang halal turut menjual minuman yang haram itu. Terpampang perkataan ‘Halal’ di luar kedai tersebut, tapi apabila kaki melangkah masuk, kami terkejut akan botol-botol arak yang tersusun kemas di atas sebuah rak yang diletakkan hampir dengan pintu masuk kedai makan tersebut. Saya masih kurang mengerti. Agak sukar untuk mencari kedai makanan halal yang tiada ruangan bar. Pelik. Sebagai sarapan pada hari tersebut, kami hanya membeli beberapa paket bun di bakeri yang berhampiran.

Saya turut belajar sejauh mana izzah sebagai seorang muslimah. Kesukaran untuk bersolat secara terang-terangan di sana mengajar kami agar sentiasa menghargai setiap rakaat solat yang ditunaikan. Saya juga bersyukur kerana dilahirkan di Malaysia, tidak perlu untuk bersembunyi apabila ingin bertemu Allah di dalam solat. Alhamdulillah. Biarpun orang-orang tempatan di sana memandang pelik kearah kumpulan kami yang bertudung, saya bangga sebagai seorang muslimah. Saya sedar yang setiap perlakuan ini akan diperhatikan oleh bukan Muslim dan jika perlakuan itu tidak sopan, sudah tentu akan menjadi fitnah kepada Islam. Semoga kita tidak tergolong dalam golongan yang menjadi fitnah kepada agama.

Kami terpaksa bergilir-gilir untuk solat agar tidak menarik perhatian umum yang ternyata kurang senang melihat agama dipraktikkan di sana, termasuklah ibadat solat. Bercakap tentang praktikaliti dalam mengamalkan agama, saya masih ingat setibanya saya di dunia Barat ini beberapa tahun yang lalu, timbul rasa rindu untuk mendengar azan dilaungkan di masjid. Terasa amat berbeza apabila mendengar azan yang dilaungkan di laman web Islamicfinder jika dibandingkan dengan laungan azan di surau-surau di Malaysia.

Paris menjadi tempat pertama saya menyaksikan satu lagi keajaiban ciptaanNya. Sambil menunggu giliran di salah satu bahagian di dalam Disneyland, hujan renyai yang disangkakan pada awalnya, berjaya membuatkan saya tersenyum. Salji yang pada pertama kalinya turun dari langit sejak tiba di benua Eropah ini. Subhanallah. Nadi terus berdenyut merdu. Terasa amat bersyukur kepada Allah kerana memberikan peluang kepada saya untuk merasai nikmat-nikmat ini. Alhamdulillah. Bukan semua orang dapat merasai keajaiban ini. Hargailah setiap peluang yang Allah berikan kepada kita.

Ke mana sahaja kaki melangkah, pastikan niat diatur dengan ikhlas untuk meneroka alam ciptaanNya. Gunakan segala pancaindera yang dianugerahkan olehNya untuk ‘melihat’ setiap keajaiban dan keindahan alam ini. Gunakan peluang yang Allah berikan untuk meraih cintaNya yang paling agung. Semoga setiap destinasi yang dituju, dapat lebih mendekatkan kita kepadaNya, insyaAllah.

Paris, I'm in Love with Allah. :) insyaAllah..

” Dan di antara manusia ada orang yang menyembah selain Allah sebagai tandingan, yang mereka cintai seperti mencintai Allah. Adapun orang-orang yang beriman sangat besar cintanya kepada Allah. Sekiranya orang-orang yang berbuat zalim itu melihat, ketika mereka melihat azab (pada hari Kiamat), bahwa kekuatan itu semuanya milik Allah dan bahwa Allah sangat berat azabNya (nescaya mereka menyesal) “ (Al-Baqarah:165)

Thursday, 6 June 2013

Adab bermusafir

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh..

Alhamdulillah Allah berikan peluang kepada diri ini untuk mencari ilmu di negara orang dan diberikan kesempatan menjejaki dan mengambil ibrah di negara Islam & juga negara Barat.  Pada masa yang sama, Allah berikan juga tanggungjawab untuk berkongsi ilmu & pengalaman yang pernah diperolehi sepanjang bermusafir kepada sahabat-sahabat. Moga perkongsian ini mampu membantu sahabat-sahabat yang akan bermusafir, tidak kiralah jauh mahupun dekat, insyaAllah.

Imam As-Syafie’ : “Mengembaralah dengan meninggalkan negeri-negerimu untuk mencari kemuliaan. Dan bermusafirlah kerana terdapat lima faedah bermusafir iaitu menghilangkan kedukaan, mencari rezeki, faedah ilmu, faedah adab dan menemani orang yang mulia.”

Sesetengah ulama berkata: “Sesungguhnya Allah Taala telah mewakilkan para malaikat untuk menjaga orang yang bermusafir untuk melihat maqasid mereka. Maka, setiap orang akan diberikan habuan berdasarkan niat mereka. Sesiapa yang niatnya kerana dunia, maka akan diberikan habuan daripada dunia dan kuranglah bahagian akhiratnya yang berlipat ganda, dikecamukkan niatnya dan dia sibuk, tamak dan mencari dunia. Manakala sesiapa yang niatnya kerana akhirat, maka diberikan pandangan yang tepat, hikmah, kebijaksanaan dan dibukakan kepadanya peringatan dan pengajaran mengikut kadar niatnya. Dihimpunkan kepadanya niatnya, dan didoakan kepadanya oleh para malaikat dan diminta ampun oleh para malaikat kepadanya.”(Ihya Ulummudin, jilid 2)

Terlalu banyak faedah bermusafir; dapat membantu proses membina karakter seseorang individu, mengenali kebaikan & keburukan seseorang dengan lebih mendalam, mengambil ibrah daripada sejarah destinasi yang ditujui dan sehinggalah kepada faedah yang sangat besar, iaitu mengejar mardhatillah atau keredhaan Allah.

Jom kita belajar adab bermusafir mengikut sunnah. 

http://www.youtube.com/watch?v=V7LKbFw-Vn4

1. Berniat & berdoa sebelum memulakan permusafiran

Saya ingin kongsikan doa musafir yang diambil daripada buku panduan umrah. Boleh amalkan untuk setiap kali permusafiran, terutamanya bagi pelajar-pelajar yang akan meninggalkan keluarga di tanahair bagi melanjutkan pengajian ke luar negara. Sebelum bermusafir, niatkan terlebih dahulu tujuan permusafiran tersebut. Doakan juga agar Allah temukan dengan insan-insan yang baik yang dapat membantu kita sepanjang permusafiran.

Maksud doa:

Ya Allah, Engkaulah teman dalam perjalanan dan Engkaulah penjaga untuk keselamatan kaum keluarga yang ditinggalkan, harta benda, anak cucu, dan sahabat handai. Ya Allah, sesungguhnya kami memohon kebaikan & ketakwaan dalam perjalanan ini dan juga amalan-amalan yang Engkau redhai. Ya Allah, kami memohon supaya diperdekatkan jarak perjalanan ini dan dimudahkan perjalanan kami ini dan kurniakanlah kepada kami di sepanjang perjalanan ini keselamatan tubuh badan, agama dan harta. Ya Allah, sesungguhnya kami berlindung denganMu dari segala bahaya dalam perjalanan & perkara-perkara yang mendukacitakan. Jauhilah perubahan buruk pada kaum keluarga, anak cucu, dan sahabat handai kami (yang telah ditinggalkan). Ya Allah, letakkanlah kami dan mereka sekalian dalam pemeliharaanMu. Janganlah Engkau mengubah kesihatan yang ada pada kami & pada mereka, wahai Tuhan yang Maha Pengasih lagi Penyayang. [1]

2. Melantik ketua perjalanan jika melibatkan 3 orang atau lebih.

3. Memastikan makanan & minuman yang halal terutamanya bagi individu yang akan ke negara yang majoritinya bukan Muslim

4. Menjaga amal ibadah ketika bermusafir. Islam memberi kelonggaran kepada umatnya yang bermusafir dengan membenarkan solat Jamak & Qasar dan pemakaian stoking Khuf bagi memudahkan mengambil wudhu.


Semoga Allah permudahkan setiap perjalanan kita di dunia & akhirat, ameen. Jika ada kesalahan dalam entry saya ini, mohon maklumkan kepada saya agar dapat diperbetulkan. Jazakumullahu khairan jazaa.

Rujukan :
1. Buku Panduan Praktis Umrah & Ziarah: Teman Tetamu Allah. Ditulis oleh Sidang Pengarang Darul Nu’man, Terbitan Darul Nu’man

 

Sample text

Sample Text