Social Icons

Pages

Tuesday, 25 June 2013

Travelog Paris: Paris,I’m In Love!



"Apabila solat telah dilaksanakan, maka bertebaranlah kamu di bumi; carilah karunia Allah dan ingatlah Allah banyak-banyak agar kamu beruntung." (Al-Jumu’ah:10)

Mungkin ramai yang tertanya, ada ke nilai-nilai Islam yang boleh digarap jika melancong ke Paris? Pada mulanya, sebelum saya melancong ke Paris, saya hanya ingin ke sana untuk menghabiskan cuti musim sejuk bersama rakan-rakan dan ingin merealisasikan impian untuk menjejakkan kaki ke Disneyland, sebuah taman yang diimpikan sejak dari kecil lagi. Namun, mungkin Allah ingin mengubah persepsi saya dan mengajar bahawa nilai-nilai Islam atau nilai tarbiyah yang boleh kita cari, tidak semestinya hanya akan diperolehi apabila melancong ke negara-negara Islam. Jika melancong di Paris sekalipun, kita mampu mentarbiyah diri kita sendiri jika kita bermuhasabah tentang setiap perbuatan kita dan sentiasa mengingati Allah.

Setibanya di Beauvais Airport, saya dan rakan-rakan segera menaiki Shuttle Bus untuk ke stesen Metro. Alangkah terkejutnya kami melihat ragam penduduk tempatan yang berebut-rebut menaiki bas. Pandangan seperti ini jauh berbeza jika di Ireland. Keadaan fizikal kami sebagai orang Asian yang tidak seberapa tinggi, terpaksalah berasak-asak untuk masuk ke dalam shuttle bus, jika tidak, kami terpaksa menunggu lebih kurang setengah jam bagi bas seterusnya. Lebih menyukarkan lagi keadaan, hampir kesemua orang yang kami temui tidak begitu faham bahasa Inggeris. Mujurlah, Allah permudahkan urusan kami melalui seorang rakan kami yang pandai berbahasa French. Memandangkan kami tiba agak lewat dan tempoh siang pada musim sejuk itu semakin singkat, kami membuat keputusan untuk berehat di hostel dan meneruskan perjalanan pada keesokan harinya.


Pada keesokan paginya, langkah diatur awal agar setiap jam tidak dibazirkan begitu sahaja. Kami memulakan perjalanan dengan mengisi perut yang kosong terlebih dahulu. Kebanyakkan kedai makan dibuka agak lewat pada hari itu. Saya masih ingat lagi, di sanalah pertama kalinya saya masuk ke kedai makanan halal tetapi mempunyai ruang khas bagi orang ingin meminum arak. Saya sendiri tidak faham bagaimana sebuah kedai makan yang halal turut menjual minuman yang haram itu. Terpampang perkataan ‘Halal’ di luar kedai tersebut, tapi apabila kaki melangkah masuk, kami terkejut akan botol-botol arak yang tersusun kemas di atas sebuah rak yang diletakkan hampir dengan pintu masuk kedai makan tersebut. Saya masih kurang mengerti. Agak sukar untuk mencari kedai makanan halal yang tiada ruangan bar. Pelik. Sebagai sarapan pada hari tersebut, kami hanya membeli beberapa paket bun di bakeri yang berhampiran.

Saya turut belajar sejauh mana izzah sebagai seorang muslimah. Kesukaran untuk bersolat secara terang-terangan di sana mengajar kami agar sentiasa menghargai setiap rakaat solat yang ditunaikan. Saya juga bersyukur kerana dilahirkan di Malaysia, tidak perlu untuk bersembunyi apabila ingin bertemu Allah di dalam solat. Alhamdulillah. Biarpun orang-orang tempatan di sana memandang pelik kearah kumpulan kami yang bertudung, saya bangga sebagai seorang muslimah. Saya sedar yang setiap perlakuan ini akan diperhatikan oleh bukan Muslim dan jika perlakuan itu tidak sopan, sudah tentu akan menjadi fitnah kepada Islam. Semoga kita tidak tergolong dalam golongan yang menjadi fitnah kepada agama.

Kami terpaksa bergilir-gilir untuk solat agar tidak menarik perhatian umum yang ternyata kurang senang melihat agama dipraktikkan di sana, termasuklah ibadat solat. Bercakap tentang praktikaliti dalam mengamalkan agama, saya masih ingat setibanya saya di dunia Barat ini beberapa tahun yang lalu, timbul rasa rindu untuk mendengar azan dilaungkan di masjid. Terasa amat berbeza apabila mendengar azan yang dilaungkan di laman web Islamicfinder jika dibandingkan dengan laungan azan di surau-surau di Malaysia.

Paris menjadi tempat pertama saya menyaksikan satu lagi keajaiban ciptaanNya. Sambil menunggu giliran di salah satu bahagian di dalam Disneyland, hujan renyai yang disangkakan pada awalnya, berjaya membuatkan saya tersenyum. Salji yang pada pertama kalinya turun dari langit sejak tiba di benua Eropah ini. Subhanallah. Nadi terus berdenyut merdu. Terasa amat bersyukur kepada Allah kerana memberikan peluang kepada saya untuk merasai nikmat-nikmat ini. Alhamdulillah. Bukan semua orang dapat merasai keajaiban ini. Hargailah setiap peluang yang Allah berikan kepada kita.

Ke mana sahaja kaki melangkah, pastikan niat diatur dengan ikhlas untuk meneroka alam ciptaanNya. Gunakan segala pancaindera yang dianugerahkan olehNya untuk ‘melihat’ setiap keajaiban dan keindahan alam ini. Gunakan peluang yang Allah berikan untuk meraih cintaNya yang paling agung. Semoga setiap destinasi yang dituju, dapat lebih mendekatkan kita kepadaNya, insyaAllah.

Paris, I'm in Love with Allah. :) insyaAllah..

” Dan di antara manusia ada orang yang menyembah selain Allah sebagai tandingan, yang mereka cintai seperti mencintai Allah. Adapun orang-orang yang beriman sangat besar cintanya kepada Allah. Sekiranya orang-orang yang berbuat zalim itu melihat, ketika mereka melihat azab (pada hari Kiamat), bahwa kekuatan itu semuanya milik Allah dan bahwa Allah sangat berat azabNya (nescaya mereka menyesal) “ (Al-Baqarah:165)

No comments:

Post a Comment

 

Sample text

Sample Text