Saya masih lagi ingat sebuah kisah yang pernah diceritakan ketika usrah di KMB beberapa tahun yang lalu….
Ketika sedang memetik buah-buahan yang masak ranum di sebatang pohon yang renek, seorang pemuda terjumpa sebuah kepompong kupu-kupu. Sambil diperhati dan diamati kepompong itu, dia terlihat akan sebuah lubang yang kecil pada kepompong itu. Selama beberapa jam, dia memerhatikan seekor kupu-kupu yang bertungkus-lumus untuk keluar daripada lubang yang kecil itu. Subhanallah, sungguh menakjubkan! Setelah beberapa lama memaksa dirinya keluar dari kepompong itu, si kupu-kupu berhenti seketika. Pemuda itu terus memerhati dan pada sangkaannya, si kupu-kupu telah berputus asa dan berhenti berusaha.
Pemuda itu berasa kasihan dan terus membuat keputusan untuk membantu si kupu-kupu. Diambilnya gunting dan terus menggunting lubang yang kecil itu. Si kupu-kupu berjaya keluar dengan mudahnya dari kepompong itu. Namun, tubuh kupu-kupu itu sangat kecil dan sayapnya masih berkedut. Pemuda tersebut terus memerhatikan kupu-kupu itu dan mengharapkan sayap kupu-kupu itu kembang dan mampu menampung berat badannya, dan kemudian dapat terbang bebas.
Namun,sangkaannya meleset. Apa yang diharapkan oleh pemuda itu, kini hanya tinggal harapan. Si kupu-kupu terpaksa melalui seluruh hayatnya dengan hanya merayap, tidak dapat terbang seperti rakan-rakannya yang lain. Sayapnya masih berkedut dan tidak mampu menampung badannya yang berat itu. Ia tidak mampu terbang selama-lamanya. Barulah pemuda tersebut faham bahawa setiap kejadian alam itu ada hikmahnya. Kesusahan yang terpaksa si kupu-kupu hadapi, akan menjadikannya lebih kuat. kupu-kupu itu perlu berjuang dengan usahanya sendiri untuk melepasi setiap halangan. Melalui lubang yang kecil itulah, si kupu-kupu dapat memaksa cecair daripada tubuhnya untuk masuk ke dalam sayap-sayapnya supaya dapat bersedia untuk terbang sebaik sahaja berjaya keluar daripada kepompong itu. Setiap kejadian itu pasti ada hikmahnya.
******************************************************
Tiada perkara yang akan datang dengan mudah tanpa perlu berusaha. Setiap pahit manis dalam melalui kehidupan ini, perlulah dihadapi dengan tabah, kerana itulah yang akan mematangkan seseorang. Mari kita ikuti teladan daripada kisah kehidupan Rasulullah sendiri, meskipun telah mempunyai darjat yang tinggi sebagai kekasih Allah, namun Baginda tetap diuji dengan pelbagai ujian. Sejak kecil, baginda diuji dengan kehilangan ibu bapa tersayang dan terpaksa menjadi yatim piatu. Namun, Baginda tidak pernah menyalahkan takdirnya. Baginda lalui dengan hati yang terbuka.
Apabila meningkat dewasa, baginda diuji lagi apabila mendapat tentangan semasa ingin berdakwah. Baginda tidak pernah berputus asa. Semakin banyak ujian yang diberikan, semakin terserlah personaliti Baginda yang kita kagumi sehingga kini. Setiap ujian yang Allah berikan kepada kita, pasti ada hikmah disebaliknya. Mungkin apabila diuji, kita akan mudah mengeluh, menangis dan seterusnya berputus asa. Berat sangatkah ujian kita sebagai manusia jika dibandingkan dengan Rasulullah? Rasulullah tidak pernah berputus asa biarpun nyawa menjadi taruhan.
“Ataukah kamu mengira bahwa kamu akan masuk syurga, padahal belum datang kepadamu (cubaan) seperti (yang dialami) orang-orang terdahulu sebelum kamu…” (Al-Baqarah :214)
Sumber: Google
Setiap kejadian alam dan ciptaan Allah memberi ruang kepada kita untuk berfikir sejenak dan cuba mengadaptasikannya ke dalam realiti kehidupan ini. Seekor larva tidak mungkin akan bertukar menjadi seekor kupu-kupu yang cantik sekiranya ia tidak berubah dan berusaha sedaya upaya menghadapi setiap halangan sepanjang perubahan itu. Begitu juga manusia, perlukan perubahan untuk berjaya. Sentiasa istiqamah dalam berubah dan tidak sesekali berasa lemah dan berputus asa.
Thomas Alva Edison, seorang pereka mentol pernah berkata, 3 perkara yang paling diperlukan bagi meraih kejayaan adalah bekerja keras dan cerdas, ketekunan dan akal fikiran yang sihat. Beliau juga menjelaskan, setiap perkara dapat dihasilkan dengan baik bagi orang-orang yang terus bekerja sambil mencari dan memanfaatkan kesempatan. Baginya, “ Hidup adalah satu perjuangan. hidup memerlukan usaha yang bersungguh-sungguh, malah bagi meraih kejayaan, keringat dan air mata diperlukan.” Beliau sendiri pernah menghadapi beribu-ribu halangan sebelum berjaya mencipta sebuah mentol yang dapat digunakan sehingga kini. Namun beliau tidak pernah berputus asa walaupun terpaksa mencuba sebanyak 1000 kali dan gagal dalam setiap percubaan.
Pernah salah seorang sahabatku memberikan kata-kata semangat, “A diamond is a chunk of coal that is made good under pressure.” Ya,tepat sekali! Tanpa tekanan yang sangat tinggi, takkan mungkin sebuah permata yang sangat indah dan sangat bernilai, dapat kita lihat pada hari ini. Seorang insan yang boleh digelar sebagai Muslim berjaya, pasti telah melalui setiap detik-detik yang mencabar yang telah membentuk peribadinya sebagai seorang yang lebih berani, kuat dan sentiasa bersabar dengan ujian yang diturunkan oleh Allah. Allah telah berfirman,
“ Dia (Ibrahim) berkata, “Tidak ada yang berputus asa dari rahmat Tuhannya, kecuali orang yang sesat.” (Al-Hijr: 56)
Ayuh kita imbas kembali zaman bayi yang dilalui oleh kita semua. Bayi yang lahir secara fitrahnya tidak pernah berputus asa, meskipun acapkali terjatuh apabila cuba bertatih, bayi-bayi ini masih lagi bersemangat untuk bangkit semula dan terus berjalan. Dan kini, bayi yang kerap jatuh bangun itu telah berjaya menjadi seorang manusia dewasa. Apakah yang akan terjadi sekiranya bayi-bayi ini berputus asa sejak kecil? Allah telah memberikan begitu banyak contoh dan teladan melalui alam semulajadi yang boleh kita jadikan iktibar. Semuanya terpulang kepada kita semua untuk mengambil masa dan berfikir sejenak tentang keajaiban yang kita lalui selama ini. Semoga Allah sentiasa menjaga hati kita agar sentiasa berfikiran positif terhadap ujian yang diberikan, respond dengan cara bersabar dan tidak cepat berputus asa, insyaAllah. Wallahualam.
No comments:
Post a Comment